Tuesday 19 June 2012


5 KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEK RENDAH


1.0       PENDAHULUAN
Pengajaran yang berkesan adalah hasil usaha seorang guru yang berjaya dalam mengaplikasikan pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Pemilihan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai adalah penting untuk menghasilkan persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam yang lengkap dan berkesan.
            Pemilihan kaedah yang betul umpamanya memainkan peranan yang penting bagi menjamin kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian seorang guru. Ini bertepatan dengan aspek pemilihan kaedah yang ditegaskan oleh al-Syaibani (1979) iaitu:[1]
…tiada satu metode pengajaran yang berguna untuk semua tujuan pendidikan dan semua mata pelajaran. Begitu juga, tiada pengkaedahan yang lebih baik bagi semua pendidik dalam semua keadaan dan suasana. Guru boleh memilih metode yang sesuai dalam tujuan pendidikan yang ingin dicapainya atau pelajaran yang ingin diajar; serta tahap perkembangan, kematangan dan kecerdasan pelajar-pelajar.

Kepentingan untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi satu faktor penting kepada keberkesanan pengajaran yang disampaikan kepada para pelajar selain daripada bakat dan ketokohan seseorang guru dalam sesuatu disiplin termasuk Pendidikan Islam. Keperluan kepada kepelbagaian kaedah dapat menarik minat pelajar kepada sesuatu mata pelajaran sehingga mampu mendorong mereka mencapai pencapaian terbaik.
Oleh itu, tumpuan utama yang akan dikupas dalam penulisan ini ialah berkaitan pengertian kaedah itu sendiri dan beberapa contoh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk subjek Pendidikan Islam Sekolah Rendah yang merangkumi bidang Asuhan Tilawah al-Quran, Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah serta Pelajaran Jawi.

2.0       HASILAN/ESEI/HURAIAN
2.1       PENGERTIAN KAEDAH
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, kaedah bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu (terutamanya yang bersistem atau yang biasa).[2] Ahmad Mohd Salleh (2008) mendefinisikan kaedah sebagai satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu pelajaran.[3] Secara umumnya, pengertian kaedah boleh difahami seperti berikut:
q Perancangan atau prosedur yang perlu diamalkan oleh semua guru bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang sistematik, terancang dan teratur.
q Sebagai langkah atau cara yang perlu digunakan oleh guru supaya murid dapat memahami maksud sebenar pengajaran yang ingin disampaikan oleh guru kepada mereka.
q Melibatkan semua cara yang efektik bagi membantu guru menyampaikan pengetahuan, ketrampilan oleh guru, nilai-nilai dan kemahiran yang diinginkan kepada pelajar.
q Perancangan yang dapat membantu pendekatan pengajaran yang ingin digunakan oleh guru bagi memudahkan proses pemindahan pengetahuan kepada pelajar ataupun kemahiran.
q Proses yang penting bagi ditentukan terlebih dahulu oleh guru sebelum mula memikirkan apakah teknik yang mahu digunakan dalam satu-satu topik pengajaran.
Al-Syaibani (1979) berpendapat bahawa konsep kaedah P & P yang baik ialah kaedah yang dapat membantu pelajar memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran dan mengubah sikap serta tingkah laku, menanam minat dan nilai yang diingini. Pengajar dan pendidik perlu menyampaikan pengajaran mengikut tahap pemikiran pelajarnya. Pelajaran yang disampaikan tanpa mengambil kira peringkat pemikiran dan pencapaian pelajar, sudah pasti boleh membawa kepada kerumitan kepada pelajar. Keadaan ini akan membawa kepada kegagalan.[4]

2.2      KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH
2.2.1   KAEDAH TALAQQI MUSYAFAHAH
Pengenalan
Kaedah Talaqqi Musyafahah ialah kaedah mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah s.a.w. Caranya ialah Jibril a.s membaca ayat suci al-Quran kemudian Rasulullah meniru bacaan tersebut dengan diperhatikan oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah s.a.w terus menghafal ayat berkenaan.[5] Sebagaimana firman Allah s.w.t:
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ {17} فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ {18}

Maksudnya:

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.[6]
 Terjemahan Surah al-Qiyamah (75): 17 - 18

Seterusnya Rasulullah s.a.w membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan Rasulullah s.a.w kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan dan dihafalkan. Dalam kaedah Talaqqi Musyafahah, murid yang mempelajari al-Quran mesti berhadapan secara langsung kepada gurunya. Faktor ini amat ditekankan supaya murid tahu betul secara amali bagaimana pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj dan sifat huruf serta hukum-hukum tajwid yang lain.

Definisi
Merujuk kepada kalimah talaqqi dan musyafahah, kedua-duanya berasal dari kalimah bahasa Arab. Talaqqi pada bahasa iaitu pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Dari sudut istilah pula bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka.
            Manakala kalimah musyafahah pada bahasa ialah sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua bibir. Dari sudut istilah membawa maksud murid menerima pengajaran secara dengan sebutan guru, melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya (mengikutnya).
            Apa yang boleh difahami daripada makna kedua-dua kalimah ini ialah murid bertemu atau bersemuka secara berhadapan dengan guru untuk mendengar bacaan guru sambil memerhatikan pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al-Quran dengan sebutan yang fasih dan betul. Seterusnya, murid pula membaca seperti guru membaca di samping guru membetulkan sebutan dan bacaan murid tersebut.

Objektif
a)    Menyebut bunyi huruf hijaiyyah yang berbaris dengan tepat.
b)    Membezakan panjang/pendek sebutan huruf.
c)    Membaca dengan betul dan fasih.
d)    Yakin dan berani mencuba di hadapan guru.

Prinsip Kaedah Talaqqi Musyafahah
Pelaksanaan kaedah Talaqqi Musyafahah ini mestilah berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan. Pertama, mengutamakan sebutan dan bacaan yang tepat. Guru memainkan peranan yang penting dalam menjayakan prinsip pertama kaedah ini. Seorang guru itu perlu menguasai kemahiran bacaan al-Quran yang baik meliputi sebutan makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid supaya dapat menyampaikan dengan sebutan dan bacaan yang tepat.
            Prinsip kedua, memerhati pergerakan mulut guru secara berdepan (bersemuka). Murid haruslah memberi tumpuan dan fokus pada pergerakan bibir guru apabila berada di hadapan guru. Dengan cara ini, murid dapat melihat sendiri cara guru melontarkan bacaannya sama ada dengan keadaan bibir mulut tertutup, terbuka, muncung dan lain-lain lagi.
            Seterusnya, prinsip ketiga dalam kaedah Talaqqi Musyafahah adalah murid menyebut (mengikut) cara sebutan guru. Apabila murid telah mendengar dan melihat bagaimana cara sebutan yang tepat melalui pergerakan bibir guru, maka dengan mudah murid tersebut dapat menyebut (mengikut).
Prinsip keempat iaitu kelemahan contoh bacaan daripada guru memberi kesan besar kepada murid. Sebutan dan bacaan seorang guru akan menjadi ikutan pada muridnya. Sekiranya, apa yang diungkapkan guru tidak menepati syarat pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan maka akan memberi kesan negatif pada bacaan murid kelak.

Prosedur Pelaksanaan Kaedah Talaqqi Musyafahah
Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga, prosedur membawa maksud cara yang lazim untuk membuat sesuatu urusan, aturan atau cara bekerja atau melakukan sesuatu.[7] Secara umumnya, prosedur melaksanakan kaedah Talaqqi Musyafahah ini ianya merangkumi 4 langkah seperti yang berikut:[8]

Guru membaca bacaan contoh kepada seorang atau beberapa orang murid

Murid mengikut bacaan guru

Guru meminta seorang atau beberapa orang murid membaca di hadapan guru

Guru mendengar dan menilai bacaan murid

Rajah 2.2.1

Berdasarkan rajah 2.2.1, bagi langkah pertama iaitu guru membaca bacaan contoh kepada seorang atau beberapa orang murid. Apa yang dimaksudkan di sini ialah guru memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya murid dapat memerhatikan pergerakan bibir dan sebutan guru. Guru boleh mempamerkan ayat-ayat dari surah yang diajar melalui LCD, kad carta atau kad manila. Setelah mempamerkan ayat-ayat tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru. Bagi murid yang lemah, guru boleh membaca bacaan contoh secara potongan ayat. Maksudnya, guru tersebut akan membaca ayat demi ayat supaya murid dapat mengikutinya.
            Langkah kedua iaitu murid mengikut bacaan guru. Setelah murid diperdengarkan dengan bacaan guru, murid diminta untuk mengikut bacaan guru secara kelas, kumpulan ataupun individu. Semasa murid membaca ayat, guru perlu memerhati dan mendengar dengan teliti sebutan murid untuk mengesan murid yang dapat membaca dan murid yang masih belum boleh menguasai bacaan.
Seterusnya langkah ketiga iaitu guru meminta seorang atau beberapa orang murid membaca di hadapan guru. Setelah guru berpuas hati dengan mutu bacaan murid secara kelas, guru meminta murid membaca ayat-ayat tersebut di hadapan guru pula secara individu mengikut giliran. Ketika ini, guru perlu memastikan murid dapat membaca ayat dengan betul dan fasih.
Langkah yang terakhir dalam kaedah Talaqqi Musyafahah ini ialah guru mendengar dan menilai bacaan murid. Apabila guru telah menilai bacaan murid secara individu, guru boleh menguji bacaan murid dengan meminta murid tersebut yang telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid, memperdengarkan bacaan di hadapan kelas jika perlu.

2.2.2   KAEDAH TASMIK
Pengenalan
Kaedah Tasmik adalah salah satu dari kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam bidang asuhan Tilawah al-Quran. Dalam kaedah Tasmik ini, murid diminta membaca manakala guru akan mendengar. Ianya bertepatan dengan maksud Tasmik itu sendiri yang bererti mendengar yang diambil dari perkataan bahasa Arab.
            Kaedah Tasmik bacaan al-Quran sesuai digunakan bagi ayat tilawah dan ayat hafazan. Seorang murid diminta membaca ayat al-Quran di hadapan guru. Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan. Selepas itu, murid boleh ditanya mengenai hukum-hukum bacaan atau tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca. Tujuan utama kaedah ini digunakan adalah untuk menguji tahap pencapaian setiap murid dalam penguasaan bacaan dan hafazan al-Quran.


Objektif
l  Mengetahui pencapaian murid.
l  Kenal pasti tahap pencapaian.
l  Menyedarkan kesilapan bacaan.
l  Meningkatkan kemahiran individu.
l  Mengklasifikasikan murid mengikut pencapaian.

Prosedur Pelaksanaan Kaedah Tasmik[9]
Rajah 2.2.2

Cara pelaksanaan kaedah tasmik, ialah murid diminta membaca ayat yang ditentukan oleh guru dengan suara yang kuat (jahar) atau nyaring, di hadapan guru sama ada secara kumpulan atau individu bergilir-gilir. Guru mendengar bacaan atau hafazan murid dengan teliti supaya dapat mengesan kesilapan yang dilakukan oleh murid dalam bacaannya.
Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan kesalahan murid tersebut. Untuk menentukan pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal pelajar tentang hukum bacaan atau hukum tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca.
Kaedah tasmik sangat sesuai diaplikasikan dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan. Melalui kaedah ini guru dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap ayat bacaan yang diajar.


2.2.3   KAEDAH BERCERITA
Pengenalan
Bercerita atau riwayat membawa pengertian sesuatu peristiwa, kejadian, dan lain-lain.[10] Mengajar cara bercerita bukanlah satu yang asing dalam pengajaran Islam. Kaedah ini merupakan salah satu teknik yang mampu menerapkan aspek pembangunan insan. Malah kaedah ini antara cara al-Quran memberikan didikan akhlak kepada manusia ialah melalui cerita-cerita atau kisah-kisah para Rasul dan Anbia’ seperti Nabi Yusuf (a.s), Nabi Ibrahim (a.s), Nabi Musa (a.s) dan sebagainya.
            Dalam pedagogi, guru dilatih supaya dapat menguasai prinsip-prinsip bercerita untuk disesuaikan dengan orang yang mendengar cerita tersebut. Dalam Pendidikan Islam, guru yang hendak bercerita mestilah ikhlas dan bercerita semata-mata kerana Allah untuk mendidik pendengar supaya berakhlak mulia dan bertakwa kepada Allah serta bertingkah laku sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan oleh para Rasul-Nya, terutama Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, sewajarnya cerita yang dipilih itu adalah cerita yang baik dan banyak memberikan contoh teladan.

Objektif
l Dapat mengembangkan penghargaan dan keseronokan untuk menikmati kesusasteraan, pengayaan bahasa, pelbagai pengalaman.
l  Mengembang kemahiran mendengar.
l  Memotivasi murid-murid membaca.
l  Menerapkan aspek pembangunan insan.

Prosedur Pelaksanaan Kaedah Bercerita
Langkah-langkah berikut telah dicadangkan untuk aktiviti bercerita: [11]
(a)   Sebelum bercerita:
i.              Persekitaran yang selesa adalah penting. Jika boleh, kemas satu tempat supaya murid-murid boleh duduk mengelilingi pencerita.

ii.            Jika guru ialah pencerita, ia mesti menimbangkan perkara-perkara berikut:
·         Pastikan cerita boleh didengar oleh semua murid.
·         Pastikan semua murid dapat lihat pencerita, terutama muka dan tangan.
·         Bercerita dengan kuat dan jelas dengan ekspresi suara.
·         Sekiranya pencerita tidak mahu diganggu, beritahu kepada murid-murid supaya tidak tanya soalan sehingga penghabisan cerita.
·         Pastikan semua murid memberi perhatian sebelum cerita itu dimulakan.
iii.           Kalau murid-murid diberi peluang bercerita bersama-sama, mereka harus:
·         Diberi maklumat tentang bahagian-bahagian dan urutan cerita itu.
·   Diberi peluang berkongsi cerita, peristiwa dalam satu keadaan tidak formal sebagai permulaan kepada pengalaman bercerita yang lebih mendalam.

(b)   Semasa bercerita:
i.              Murid-murid harus diberi peluang mencatat nota untuk perbincangan lanjut;
ii.            Pastikan murid-murid menumpukan perhatian; dan
iii.           Pencerita harus bertentangan mata (eye contact) dengan pendengar dan bertutur secara terus menerus kepada pendengarnya.

(c)    Selepas sesi bercerita:
i.              Beri peluang kepada murid untuk memberi rumusan cerita; dan
ii.            Meminta mereka berkongsikan nilai yang telah belajar.


2.2.4   KAEDAH AMALI DAN DEMONSTRASI
Pengenalan
Amali bermaksud pengamalan (pelaksanaan) sebenar sesuatu ilmu pengetahuan.[12] Demonstrasi pula bermaksud pertunjukan dan penerangan tentang cara melakukan sesuatu. Dikenali juga sebagai tunjuk cara yang merupakan teknik P & P yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan sesuatu aktiviti di hadapan murid.[13]
Kaedah amali dan demonstrasi ini merupakan cara menyediakan bahan pelajaran dengan menyediakan secara langsung objeknya atau prosesnya atau cara melakukan sesuatu. Kaedah ini dapat memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan situasi pembelajaran.
Pendekatan amali dan demonstrasi adalah antara kaedah yang paling banyak digunakan oleh Rasulullah SAW terutamanya dalam P & P Ibadah. Sebagai contoh terdapat hadith yang menerangkan bagaimana Rasulullah SAW mengajar tentang wuduk dan solat dengan menunjukkan sendiri cara pergerakan solat yang betul.

Objektif
l  Dapat memberikan peluang kepada murid untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan situasi pembelajaran.
l  Murid memperoleh pengalaman langsung dalam memperoleh kemahiran, pengetahuan, kesimpulan dan celik akal dalam unit-unit pembelajaran yang berkenaan.
l  Membolehkan murid melihat dan mengikuti satu siri langkah, peristiwa atau fenomena.

Prinsip Kaedah  Amali dan Demonstrasi
Memahami dan mematuhi prinsip melaksanakan kaedah amali dan demonstrasi ini antara faktor yang menolong kepada menghasilkan aktiviti amali dan demonstrasi dengan lebih berkesan. Oleh itu, guru harus mengetahui prinsip tersebut. Prinsip-prinsip tersebut pada asasnya adalah seperti berikut: [14]
(1)   Sebelum demonstrasi:
a.  Guru menentukan topik yang hendak dipelajari, objektif dan kandungan demonstrasi terlebih dahulu.
b.    Guru menyediakan alatan serta bahan yang diperlukan.
c. Tempat demonstrasi ditetapkan di hadapan kelas supaya semua murid dapat menyaksikannya dengan jelas.
d.  Guru hendaklah memberitahu murid tujuan demonstrasi yang ditunjukkan supaya mereka dapat mencontohinya nanti tanpa melakukan sebarang kesilapan.

(2)   Semasa demonstrasi:
a. Guru harus memandang ke arah murid semasa memberi penerangan tentang demonstrasi yang dijalankan.
b.  Sekiranya murid menunjukkan keraguan, guru hendaklah menerangkan langkah itu sekali lagi.
c.  Guru boleh menggunakan teknik menyoal untuk menarik perhatian murid atau untuk mengingat kembali teori yang dipelajari sebelum ini.
d.   Pastikan semua murid dapat melihat demonstrasi serta mendengar penerangan guru dengan jelas.
e.   Tegaskan bahagian yang penting.
f.     Jika masa mencukupi beri peluang murid membuat demonstrasi.

(3)   Selepas demonstrasi:
a.    Mengadakan perbincangan dengan murid tentang bahagian demonstrasi penting. Perbincangan ini bagi memastikan murid-murid memerhatikan demonstrasi dengan betul.
b.    Galakkan murid bertanya aspek yang kurang difahami.
c.    Guru memberi aktiviti susulan untuk mengukuhkan lagi penguasaan kemahiran yang dipelajari, misalnya mengadakan kuiz ataupun perbincangan.


2.2.5   KAEDAH PERMAINAN (BELAJAR SAMBIL BERMAIN)
Pengenalan
Permainan menjadi satu keperluan semula jadi bagi kanak-kanak. Situasi bermain boleh digunakan dalam pengajaran guru di bilik darjah untuk mencapai objektif-objektif pendidikan. Kaedah bermain sesuai untuk pendidikan prasekolah dan sekolah rendah. Kaedah ini juga boleh digunakan dalam pengajaran Pendidikan Islam.
            Permainan merupakan satu cara melatih murid sebagai seorang manusia dan merupakan satu teknik yang baik untuk menjadikan pengajaran di sekolah lebih menarik dan praktis. Kanak-kanak akan memperoleh pembelajaran yang paling berkesan sekiranya mereka mempelajari sesuatu sesuai dengan minat, tujuan dan faedah mereka.
Objektif Kaedah Permainan (Belajar Sambil Bermain)
  • Memberi peluang kepada murid-murid melakukan aktiviti berpura-pura di bawah keadaan terkawal.
  • Mengembangkan potensi intelek, jasmani, rohani dan sosial murid-murid.
  • Mengukuhkan kemahiran-kemahiran yang baru dipelajari.

Prinsip-prinsip Kaedah Permainan
Menurut Musa Daia (1992), kaedah mainan didasarkan beberapa prinsip seperti di bawah:[15]
1)    Proses pembelajaran mestilah disalurkan melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan.
2)    Pembelajaran mestilah di dalam keadaan yang bebas dan tidak ada langsung penghalangnya.
3)  Penyampaian hendaklah secara tidak langsung dan bersahaja supaya sesuai dengan minat dan keperluan kanak-kanak.
4)  Guru mestilah mempunyai sikap yang positif, iaitu sering menggalakkan murid-murid melahirkan sesuatu dengan bebas. Beri peluang yang cukup kepada setiap murid untuk melahirkan sesuatu.
5)    Murid-murid hendaklah sentiasa gembira dalam proses pembelajaran. Mereka hendaklah menjadi peserta yang aktif dalam proses itu. Mereka juga hendaklah bertanggungjawab terhadap perkembangan dan kemajuan diri sendiri.

Langkah Melaksanakan Aktiviti Permainan
Jill Hadfield (1984) berpendapat bahawa aktiviti permainan haruslah diajarkan melalui demonstrasi dan bukan disampaikan dengan cara penerangan lisan sahaja. Oleh itu, beliau sarankan aktiviti permainan dilaksanakan dengan langkah-langkah seperti berikut:[16]
  1. Guru menerangkan secara ringkas tentang tujuan bermain.
  2. Guru kemudian mendemonstrasikan cara atau kaedah bermain.
  3. Seorang atau sekumpulan kecil murid dipilih untuk melakukan semula demonstrasi guru.
  4. Semua murid menjalankan aktiviti permainan dalam kumpulan kecil masing-masing.
  5. Guru beredar dari sekumpulan ke sekumpulan dengan tujuan mengawas aktiviti murid, dan memberi bimbingan jika perlu.
  6. Selepas aktiviti permainan, guru atau seorang murid, dipilih untuk memberi rumusan yang dipelajari dalam aktiviti permainan.



Kelebihan Kaedah Permainan
1)    Murid tidak bosan.
2)    Melatih murid berinteraksi dengan bebas sesama mereka.
3)    Guru dapat mengenal dengan mudah kemampuan murid dan kelemahan murid semasa bermain.

Kelemahan Kaedah Permainan
1)    Menambah/ membebankan guru untuk menyediakan ABM.
2)    Tidak semua tajuk pelajaran dapat menggunakan kaedah ini.
3)    Menambahkan penggunaan wang sekolah.


3.0       PENUTUP
Keperluan kepada kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul tidak boleh dipandang ringan dalam satu-satu sistem pembelajaran yang ideal. Kepentingan kaedah ini sama pentingnya dengan objektif dan kurikulum yang dinyatakan dalam mana-mana sistem falsafah pendidikan terutamanya Pendidikan Islam. Pelaksanaan kaedah-kaedah pengajaran yang dirancang dengan teliti akan membolehkan ia berkembang mengikut matlamat yang ditentukan.
            Musa Daia (1992) berpendapat bahawa seorang guru mesti mempunyai kemahiran yang cukup dalam menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang berbeza. Walaupun banyak kaedah pengajaran yang baharu diperkenalkan, tetapi perlu ditekankan bahawa tidak ada satu formula pun yang betul-betul dapat menentukan bagaimana cara untuk mengajar. Apa yang perlu dilakukan ialah menyesuaikan kaedah-kaedah yang pelbagai itu dengan kehendak dan kehidupan manusia yang dinamik.[17]
Pengabungjalinan antara pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Islam merupakan kaedah yang terbaik bagi mengatasi segala kelemahan yang ada pada setiap kaedah. Memandangkan setiap kaedah mempunyai kelebihan yang tersendiri dan ianya adalah bergantung kepada kehendak individu guru itu untuk mengunakan mana-mana kaedah yang bersesuaian dengan tahap dan kemahiran yang ada pada mereka.


4.0       RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hjh. Noresah Baharom. (2002). Kamus Dewan Edisi Ketiga. c. 7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah Pengajaran & Pembelajaran. Johor: Penerbit UTM Press.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2003). Modul 1/3 Ilmu Pendidikan Pengajian Profesional KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 1/3 Pendidikan Al-Quran Minor KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam. (2007). Buku Panduan Kursus Pemantapan Guru-guru j-QAF Tahun 2007. Kuala Lumpur: JAPIM KPM.
Mok Soon Sang. (2009). Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Sekolah Rendah) Komponen 1 & 2. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Sheikh Abdullah Basmeih. (2006). Al-Qur’an Al-Karim Mushaf Tajwid Berserta Terjemahan Ke Dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: DarulFikir.


[1] Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah Pengajaran & Pembelajaran. Johor: Penerbit UTM Press. h. 30.
[2] Hjh. Noresah Baharom. (2002). Kamus Dewan Edisi Ketiga. c. 7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 557.
[3] Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. h. 188.

[4] Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri. (2007). Op. Cit. h. 29.
[5] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 1/3 Pendidikan Al-Quran Minor KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 1.
[6] Sheikh Abdullah Basmeih. (2006). Al-Qur’an Al-Karim Mushaf Tajwid Berserta Terjemahan Ke Dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: DarulFikir. h. 577.
[7] Hjh. Noresah Baharom. (2002). Op. Cit. h. 1058.
[8] Kementerian Pelajaran Malaysia. Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam. (2007). Buku Panduan Kursus Pemantapan Guru-guru j-QAF Tahun 2007. Kuala Lumpur: JAPIM KPM. h. 51.
[9] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Op. Cit. h. 3.
[10] Hjh. Noresah Baharom. (2002). Op. Cit. h. 234.
[11] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2003). Modul 1/3 Ilmu Pendidikan Pengajian Profesional KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 19.
[12] Ibid. h. 33.
[13] Kamarul Azmi Jasmi dan Ab. Halim Tamuri (2007). Op. Cit. h. 281.
[14] Ibid. h. 283.
[15] Ahmad Mohd Salleh (2008). Op. Cit. h. 207.
[16] Mok Soon Sang. (2009). Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Sekolah Rendah) Komponen 1 & 2. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. h. 355.
[17] Ahmad Mohd Salleh. (2008). Op. Cit. h. 194.

Sumber : Hasil Tugasan PI IPG Kampus Darulaman 

5 comments:

  1. mohon izin utk rujukan.......sgt mmmbantu...syukran kathir...moga Allah permudah urusa kamu...:)

    ReplyDelete
  2. Mohon izin untuk rujukan ;) Terima Kasih..

    ReplyDelete
  3. mohon sy rujuk maklumat ini.Semoga Allah permudahkan segala urusanmu...

    ReplyDelete