Tuesday 19 June 2012

KEPENTINGAN AGAMA DALAM PENDIDIKAN AKHLAK

Pendekatan Islam dalam pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman aqidah atau rohani. Ini kerana, aqidah merupakan teras Islam yang utama. Kepentingan aqidah dalam Islam dapat dilihat menerusi nas-nas al-Quran dan Hadith yang banyak mengaitkan pembentukan akhlak dengan aqidah atau iman. Misalnya, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya” (Imam Ahmad, Juz 3, no. 7406) dan “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (Sahih Bukhari, Jilid 1,Bil.10). Dalam hal ini Tunku Sarah Tunku Mohd. Jiwa menyebutkan sebagaimana dijelaskan oleh Asmawati Suhid (2005), penerapan nilai akhlak bermula daripada intipati tauhid kepada Allah s.w.t demi melahirkan insan soleh dan berakhlak. Beliau membuat kesimpulan bahawa pengajaran nilai akhlak yang berkesan akan berlaku apabila dikaitkan dengan kepercayaan kepada Tuhan. Begitu juga, menurut Mohd. Kamal Hassan (1987) kuat atau lemahnya iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Iman yang kuat akan mewujudkan akhlak yang baik dan mulia, sedangkan iman yang lemah melahirkan akhlak yang buruk dan keji. 

   Dengan kata lain, agama merupakan asas dalam pembentukan akhlak manusia. Tanpa ikatan agama, suatu pendidikan akhlak itu tidak akan mantap dan kekal malah hanya bersifat sementara yang akhirnya membawa kepada kegagalan pendidikan akhlak. Tegasnya, pendidikan agama dipercayai berupaya mempengaruhi cara pemikiran anak-anak khususnya remaja dan seterusnya tingkah laku mereka. Oleh itu, orang yang berpendidikan agama lebih terarah untuk mengamalkan nilai akhlak Islam dan mengelakkan diri daripada perbuatan buruk (Asmawati Suhid 2005). Seperti yang dijelaskan oleh Sezali Din (1997), selain mempunyai ketahanan diri (mental dan fizikal) dan nilai atau harga diri, individu hendaklah memiliki pegangan agama yang kukuh dalam menghadapi cabaran hidup. 

   Kepentingan nilai agama dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia pula dijelaskan oleh Mahathir Mohamad (1999) seperti berikut: 

Agama adalah masih relevan dalam masyarakat pelbagai agama seperti Malaysia. Tidak mengendahkan atau mengenepikannya adalah tidak bijak. Suatu masyarakat yang sepenuhnya sekular tidak boleh diwujudkan di Malaysia. Agama-agama rakyatnya mesti memainkan peranan mereka. 

   Manakala dalam usaha pembangunan modal insan,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perutusannya di Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos 2005, mengingatkan supaya pembangunan modal insan yang dilakukan hendaklah diseimbangkan dengan kemantapan rohani setiap rakyatnya: 

Untuk membangunkan modal insan, kita mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekertimulia, yang mempunyai hemah yang tinggi, yang berjiwa besar, cintakan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani. 

    Maka jelas di sini, peranan agama dan aspek rohani tidak boleh diabaikan sama sekali dalam apa jua bentuk pendidikan akhlak dan moral. Pendidikan akhlak yang berteraskan aqidah dan nilai agama adalah lebih sempurna dan menjamin melahirkan insan yang berkualiti sesuai dengan tujuan penciptaan manusia iaitu sebagai hamba dan khalifahAllah di muka bumi. Sebagaimana firmanAllah s.w.t yang bermaksud “Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk menyembahKu” (Surah az-Zaariyat, ayat 56). 

   Bagaimanapun, terdapat pelbagai fahaman yang menolak peranan agama dalam pendidikan nilai akhlak dan moral (Asmawati Suhid 2006). Misalnya, selain melemahkan pendidikan nilai agama, sekularisme meruntuhkan moral banyak manusia, dan akibatnya muncul pelbagai masalah dan gejala sosial yang kadang kalanya di luar dugaan orang yang rasional dan beriman. Menurut Sulaiman Nordin (1999), sekularisme merupakan kebudayaan Barat yang menular ke dalam alam fikiran dan budaya kebanyakan masyarakat kini. Ia mementingkan nilai yang tiada hubungan dengan alam rohani atau akhirat. Oleh itu, ia menghakis nilai moral atau akhlak umat manusia termasuk orang Islam. Ringkasnya, fahaman sekularisme adalah sangat asing dan bertentangan dengan cara hidup Islam yang bertunjangkan ‘aqidah kepada Allah s.w.t. Begitu juga dengan fahaman-fahaman lain yang muncul seperti Humanisme, Liberalisme dan Empirisisme.

SUMBER : Artikel ASMAWATI SUHID yang bertajuk "Pengajaran adab & akhlak Islam dalam membangunkan modal insan"

No comments:

Post a Comment