Tuesday 19 June 2012


APA ITU PENGAJARAN MAKRO???

Konsep Pengajaran Makro
Pengajaran Makro merupakan satu sesi pengajaran praktik yang lengkap bermula dari pendahuluan, set induksi, perkembangan, penilaian dan penutup.[1] Dalam erti kata lain, pengajaran makro ialah satu sesi pengajaran yang lengkap bermula dari set induksi hingga penutup. Pelaksanaannya perlulah mengandungi elemen-elemen berikut; dilakukan di kelas yang besar, perlu murid sebenar, guru mengajar sepenuh waktu, tumpu kepada pelbagai kemahiran mengajar dan situasi sebenar.[2] Pengajaran makro juga merupakan kesepaduan teknik-teknik pengajaran mikro yg disokong oleh perancangan pengajaran pembelajaran yang sekian lama dipelajari.
Proses pengajaran makro yang dijalankan di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman umpamanya, mesti dipraktikkan oleh guru pelatih dengan diperhatikan rakan pelatih yang lain. Pengajaran makro tersebut berdasarkan masa pengajaran sebenar seperti yang ditetapkan sama ada menggunakan masa 30 minit atau 40 minit. Ianya bertujuan membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran, di samping mereka dapat memperbaiki kelemahan sebelum mereka menghadapi situasi pengajaran sebenar di bilik darjah di sekolah.

Prinsip Pengajaran Makro
Antara prinsip pengajaran makro ialah:[3]

Ø  Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam pengajaran makro, guru mempunyai objektif yang besar dan luas merangkumi aras pengetahuan pelajar. Guru hendaklah menyatakan objektif secara tepat dan jelas bagi setiap pengajaran yang dirancang berasaskan tajuk-tajuk yang dikenal pasti.
Ø  Jumlah Pelajar
Jumlah pelajar yang terlibat jauh lebih ramai bergantung kepada bilangan pelajar di dalam kelas sebenar. Pelajar yang terlibat adalah pelajar yang sebenar dan bukan dari lakonan rakan-rakan. Justeru itu, pengajaran guru adalah mencabar dengan karenah para pelajar.
Ø  Strategi Pengajaran
Dalam pengajaran makro, guru perlu mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran supaya sesi pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.
Ø  Jangka Masa Pengajaran
Jangka masa yang ditentukan dalam pengajaran makro adalah berdasarkan kepada jadual waktu kelas yang memakan masa selama antara 30 hingga 40 minit satu masa. Ekoran itu, guru perlu bijak merancang pengajaran dan pembelajaran dengan peruntukan masa yang ditetapkan.
Ø  Bahan Pelajaran
Dalam pengajaran makro, guru perlu menyampaikan keseluruhan isi pengajaran yang telah dirancang dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Oleh itu, guru perlu menguasai sepenuhnya bahan yang hendak disampaikan dan tumpuan guru ketika menyampaikan adalah menyeluruh.
Ø  Perbincangan dan Refleksi
Penilaian kendiri perlu dibuat selepas guru selesai melaksanakan pengajaran sebagai refleksi atau muhasabah berkaitan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran perlu diperbaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang perlu dibuat refleksi ialah objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid di samping keazaman guru untuk memperbaiki pengajarannya.

       
Prosedur Pengajaran Makro (Sebelum, Semasa dan Selepas)

Sebelum Pengajaran (Persediaan Pengajaran)
Sebelum melaksanakan sesuatu sesi pengajaran makro, guru pelatih perlulah merancang dan menyediakan persediaan mengajar yang lengkap dan baik. Perancangan yang lengkap dan baik merupakan satu aspek penting dalam sesuatu pengajaran yang berkesan. Pengajaran yang berkesan akan meningkatkan pencapaian akademik murid dan mengurangkan masalah-masalah disiplin. Berikut ialah aspek-aspek penting dalam persediaan sebelum pengajaran:-[5]

1 Perancangan pendahuluan
v  Penentuan topik
v  Kebolehan sedia ada murid-murid
v  Objektif/hasil pembelajaran

2 Perancangan penyampaian
v  Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran
v  Penentuan masa
v  Pemeringkatan isi
v  Pemilihan sumber

3 Perancangan penilaian
v  Pencapaian
v  Penganalisisan maklum balas
v  Pengubahsuaian


Semasa Pengajaran (Pelaksanaan Pengajaran)
Semasa hendak melaksanakan pengajaran makro ini guru pelatih perlulah merancang set induksi pengajaran yang baik dan menarik perhatian serta minat murid kepada pengajaran yang hendak disampaikan dan dapat menggalakkan pembelajaran. Set induksi juga digunakan bagi mengaitkan pelajaran yang lepas atau dengan pengetahuan sedia ada murid. Jangka masa yang baik bagi set induksi adalah antara tiga hingga lima minit.
            Seterusnya, perkembangan pengajaran yang merujuk kepada langkah-langkah mengajar yang disusun berperingkat-peringkat berdasarkan prinsip-prinsip pengajaran. Guru pelatih juga perlu merancang langkah-langkah pengajaran yang berturutan, disusun dengan baik dan mencatat anggaran masa yang sesuai. Langkah-langkah yang dirancang ada kaitannya dengan objektif khusus yang sudah dicatatkan.
            Guru pelatih juga perlu memilih dan menyusun isi pelajaran yang hendak disampaikan. Ia perlulah sesuai dengan kebolehan serta minat murid. Isi pelajaran tersebut perlu dipertingkatkan dan diperkembangkan dengan teliti supaya situasi pembelajaran yang unggul dapat diwujudkan. Ketika melakukan pemeringkatan isi, guru pelatih hendaklah menyenaraikan semua topik yang hendak diajar, kemudian fikirkan sub topik atau isi yang manakah yang perlu diawalkan dan yang boleh diajar kemudiannya. Untuk itu guru pelatih perlulah melihat prinsip-prinsip berikut:
ü  Dari yang susah diketahui kepada belum diketahui
ü  Dari mudah kepada kompleks
ü  Dari konkrit kepada abstrak
ü  Dari dekat kepada jauh
ü  Dari yang dalam pengalaman kepada yang di luar pengalaman
           
Bagi menyampaikan sesuatu isi pelajaran dengan berkesan, guru pelatih hendaklah memikirkan strategi yang akan digunakan. Pemilihan strategi yang bijaksana akan menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran, strategi pengajaran yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan mutu penyampaian malahan akan menjadikan satu-satu pelajaran itu lebih bermakna serta menyeronokkan murid-murid.
Selain itu, guru pelatih juga harus menjalankan aktiviti untuk mengukur sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai. Aktiviti penilaian boleh dijalankan secara pemerhatian terhadap aktiviti susulan, pemeriksaan kerja murid atau melalui ujian lisan atau tulisan. Maklumat-maklumat yang didapati dari pentafsiran penilaian ini akan menjadi asas untuk membuat pengubahsuaian terhadap pengajaran seterusnya.
Bahagian penutup yang merupakan bahagian terakhir dalam satu-satu pengajaran dan pembelajaran di mana guru membantu murid menyimpul dan membuat rumusan yang berkaitan isi-isi penting serta memberi latihan atau aktiviti pengukuhan kepada murid-murid. Guru juga perlu memberikan rasa kepuasan belajar dan menggerakkan murid-murid supaya bersedia untuk pelajaran akan datang. Hal ini bertepatan dengan pernyataan Ee Ah Meng (1991) yang membahagikan penutup kepada dua bahagian, iaitu penutup kognitif dan penutup sosial. Penutup kognitif biasanya digunakan apabila guru menyenaraikan isi-isi penting sesuatu pelajaran dengan tujuan mengukuhkan apa yang telah dipelajari. Manakala penutup sosial pula bertujuan memberikan suatu perasaan pencapaian kepada murid-murid di hujung pengajaran satu-satu topik.[6]
Di sepanjang proses pengajaran makro ini dilaksanakan pelbagai kemahiran dapat diterapkan dan dikuasai oleh para guru pelatih setelah mereka melalui proses pengajaran mikro sebelum ini. Ini sejajar dengan tujuan pengajaran makro itu sendiri iaitu untuk membantu guru pelatih membiasakan diri melaksanakan pelbagai kemahiran dalam satu sesi pengajaran. Antara kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran penyampaian set induksi; kemahiran menerang dengan menggunakan contoh, ilustrasi dan sumber pengajaran dan pembelajaran; kemahiran penggunaan penyoalan; kemahiran pengelolaan variasi rangsangan; kemahiran penggunaan papan kapor; kemahiran pengurusan aktiviti pengukuhan; dan kemahiran pelaksanaan penutup.

Selepas Pengajaran (Refleksi Sesi Makro)
Setelah selesai sesi pengajaran, guru mestilah membuat penilaian kendiri sebagai refleksi atau muhasabah berkenaan pengajaran guru. Kekurangan dan kelemahan di dalam pengajaran tersebut perlu dibaiki dalam pelajaran akan datang. Antara perkara yang boleh dibuat refleksi ialah pencapaian objektif, disiplin kelas dan penglibatan murid serta keazaman guru bagi membaiki pengajarannya.



[1] Ahmad Mohd Salleh. (2011). Kurikulum, Metodologi dan Pedagogi Pengajian Islam Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. h. 214.
[2] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 2/3 Unit 3, 4, dan 5 Pengajian Islam Major j-QAF KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 50.
[3] Mohd Khairi b Mohd Shaari. Pengajaran Makro Pendidikan Islam. Diperoleh 19 Disember, 2011 dari http://mokhairisha.blogspot.com/2009/02/pengajaran-makro-pendidikan-islam.html
[4] Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 2/3 Unit 3, 4, dan 5 Pengajian Islam Major j-QAF KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 74.
[5] Ahmad Mohd Salleh. (2011). Op. Cit. h. 215.
[6] Ibid. h. 200.

SUMBER : Hasil Tugasan di IPG Kampus Darulaman

4 comments:

  1. assalamualaikum...
    terima kasih atas perkongsian maklumat... ^_^

    ReplyDelete
  2. Lucky Club Casino Site 2021 – Enjoy 1000 EUR Welcome Bonus
    The Lucky Club is one of the best online casino sites with generous welcome bonus offers, as well as bonuses luckyclub and promotions. Read More. Lucky Club

    ReplyDelete