5 KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEK RENDAH
1.0 PENDAHULUAN
Pengajaran yang
berkesan adalah hasil usaha seorang guru yang berjaya dalam mengaplikasikan
pelbagai pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai. Pemilihan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang sesuai
adalah penting untuk menghasilkan persediaan mengajar mata pelajaran Pendidikan
Islam yang lengkap dan berkesan.
Pemilihan kaedah yang betul umpamanya
memainkan peranan yang penting bagi menjamin kelancaran dalam proses pengajaran
dan pembelajaran harian seorang guru. Ini bertepatan dengan aspek pemilihan
kaedah yang ditegaskan oleh al-Syaibani (1979) iaitu:
…tiada satu
metode pengajaran yang berguna untuk semua tujuan pendidikan dan semua mata
pelajaran. Begitu juga, tiada pengkaedahan yang lebih baik bagi semua pendidik
dalam semua keadaan dan suasana. Guru boleh memilih metode yang sesuai dalam
tujuan pendidikan yang ingin dicapainya atau pelajaran yang ingin diajar; serta
tahap perkembangan, kematangan dan kecerdasan pelajar-pelajar.
Kepentingan untuk
memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran menjadi satu faktor penting kepada
keberkesanan pengajaran yang disampaikan kepada para pelajar selain daripada
bakat dan ketokohan seseorang guru dalam sesuatu disiplin termasuk Pendidikan
Islam. Keperluan kepada kepelbagaian kaedah dapat menarik minat pelajar kepada
sesuatu mata pelajaran sehingga mampu mendorong mereka mencapai pencapaian
terbaik.
Oleh itu, tumpuan utama yang
akan dikupas dalam penulisan ini ialah berkaitan pengertian kaedah itu sendiri
dan beberapa contoh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk subjek
Pendidikan Islam Sekolah Rendah yang merangkumi bidang Asuhan Tilawah
al-Quran, Asas Ulum Syar’iyyah, Adab dan Akhlak Islamiah serta Pelajaran Jawi.
2.0 HASILAN/ESEI/HURAIAN
2.1 PENGERTIAN KAEDAH
Menurut Kamus Dewan
Edisi Ketiga, kaedah bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu
(terutamanya yang bersistem atau yang biasa).
Ahmad Mohd Salleh (2008) mendefinisikan kaedah sebagai satu perancangan atau
prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan
sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran
yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi
mencapai sesuatu pelajaran.
Secara umumnya, pengertian kaedah boleh difahami seperti berikut:
q Perancangan atau
prosedur yang perlu diamalkan oleh semua guru bagi melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran yang sistematik, terancang dan teratur.
q Sebagai langkah
atau cara yang perlu digunakan oleh guru supaya murid dapat memahami maksud
sebenar pengajaran yang ingin disampaikan oleh guru kepada mereka.
q Melibatkan semua
cara yang efektik bagi membantu guru menyampaikan pengetahuan, ketrampilan oleh
guru, nilai-nilai dan kemahiran yang diinginkan kepada pelajar.
q Perancangan yang
dapat membantu pendekatan pengajaran yang ingin digunakan oleh guru bagi
memudahkan proses pemindahan pengetahuan kepada pelajar ataupun kemahiran.
q Proses yang
penting bagi ditentukan terlebih dahulu oleh guru sebelum mula memikirkan
apakah teknik yang mahu digunakan dalam satu-satu topik pengajaran.
Al-Syaibani (1979)
berpendapat bahawa konsep kaedah P & P yang baik ialah kaedah yang dapat
membantu pelajar memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran dan mengubah sikap
serta tingkah laku, menanam minat dan nilai yang diingini. Pengajar dan
pendidik perlu menyampaikan pengajaran mengikut tahap pemikiran pelajarnya.
Pelajaran yang disampaikan tanpa mengambil kira peringkat pemikiran dan
pencapaian pelajar, sudah pasti boleh membawa kepada kerumitan kepada pelajar.
Keadaan ini akan membawa kepada kegagalan.
2.2 KAEDAH PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM SEKOLAH RENDAH
2.2.1 KAEDAH TALAQQI MUSYAFAHAH
Pengenalan
Kaedah Talaqqi
Musyafahah ialah kaedah mempelajari bacaan al-Quran yang tertua dan
dipraktikkan oleh Jibril a.s kepada Rasulullah s.a.w. Caranya ialah Jibril a.s
membaca ayat suci al-Quran kemudian Rasulullah meniru bacaan tersebut dengan
diperhatikan oleh Jibril. Setelah itu Rasulullah s.a.w terus
menghafal ayat berkenaan.
Sebagaimana firman Allah s.w.t:
إِنَّ
عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ {17} فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
{18}
Maksudnya:
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu
(dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami
telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka
bacalah menurut bacaannya itu.
Terjemahan Surah al-Qiyamah (75): 17 - 18
Seterusnya Rasulullah
s.a.w membacakan kepada para sahabat, para sahabat pula meniru bacaan
Rasulullah s.a.w kemudian diminta dituliskan, seterusnya tulisan itu dibacakan
dan dihafalkan. Dalam kaedah Talaqqi Musyafahah, murid yang mempelajari
al-Quran mesti berhadapan secara langsung kepada gurunya. Faktor ini amat
ditekankan supaya murid tahu betul secara amali bagaimana pelaksanaan semua
hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj dan sifat huruf serta
hukum-hukum tajwid yang lain.
Definisi
Merujuk kepada
kalimah talaqqi dan musyafahah, kedua-duanya berasal dari kalimah bahasa Arab.
Talaqqi pada bahasa iaitu pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Dari
sudut istilah pula bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka.
Manakala kalimah musyafahah pada
bahasa ialah sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua
bibir. Dari sudut istilah membawa maksud murid menerima pengajaran secara
dengan sebutan guru, melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya
(mengikutnya).
Apa
yang boleh difahami daripada makna kedua-dua kalimah ini ialah murid bertemu
atau bersemuka secara berhadapan dengan guru untuk mendengar bacaan guru sambil
memerhatikan pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al-Quran
dengan sebutan yang fasih dan betul. Seterusnya, murid pula membaca seperti
guru membaca di samping guru membetulkan sebutan dan bacaan murid tersebut.
Objektif
a) Menyebut
bunyi huruf hijaiyyah yang berbaris dengan tepat.
b) Membezakan
panjang/pendek sebutan huruf.
c) Membaca
dengan betul dan fasih.
d) Yakin dan
berani mencuba di hadapan guru.
Prinsip Kaedah Talaqqi Musyafahah
Pelaksanaan kaedah Talaqqi Musyafahah ini
mestilah berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digariskan. Pertama,
mengutamakan sebutan dan bacaan yang tepat. Guru memainkan peranan yang penting
dalam menjayakan prinsip pertama kaedah ini. Seorang guru itu perlu menguasai
kemahiran bacaan al-Quran yang baik meliputi sebutan makhraj-makhraj huruf,
sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid supaya dapat menyampaikan dengan
sebutan dan bacaan yang tepat.
Prinsip
kedua, memerhati pergerakan mulut guru secara berdepan (bersemuka). Murid
haruslah memberi tumpuan dan fokus pada pergerakan bibir guru apabila berada di
hadapan guru. Dengan cara ini, murid dapat melihat sendiri cara guru
melontarkan bacaannya sama ada dengan keadaan bibir mulut tertutup, terbuka,
muncung dan lain-lain lagi.
Seterusnya,
prinsip ketiga dalam kaedah Talaqqi Musyafahah adalah murid menyebut (mengikut)
cara sebutan guru. Apabila murid telah mendengar dan melihat bagaimana cara
sebutan yang tepat melalui pergerakan bibir guru, maka dengan mudah murid
tersebut dapat menyebut (mengikut).
Prinsip keempat iaitu kelemahan contoh bacaan
daripada guru memberi kesan besar kepada murid. Sebutan dan bacaan seorang guru
akan menjadi ikutan pada muridnya. Sekiranya, apa yang diungkapkan guru tidak
menepati syarat pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan maka akan
memberi kesan negatif pada bacaan murid kelak.
Prosedur Pelaksanaan Kaedah Talaqqi
Musyafahah
Merujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga,
prosedur membawa maksud cara yang lazim untuk membuat sesuatu urusan, aturan
atau cara bekerja atau melakukan sesuatu.
Secara umumnya, prosedur melaksanakan kaedah Talaqqi Musyafahah ini ianya
merangkumi 4 langkah seperti yang berikut:
Guru membaca bacaan
contoh kepada seorang atau beberapa orang murid
Murid mengikut
bacaan guru
Guru meminta seorang
atau beberapa orang murid membaca di hadapan guru
Guru mendengar dan menilai bacaan murid
Rajah 2.2.1
Berdasarkan rajah
2.2.1, bagi langkah pertama iaitu guru membaca bacaan contoh kepada seorang
atau beberapa orang murid. Apa yang dimaksudkan di sini ialah guru
memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya murid dapat memerhatikan
pergerakan bibir dan sebutan guru. Guru boleh mempamerkan ayat-ayat dari surah
yang diajar melalui LCD, kad carta atau kad manila. Setelah mempamerkan
ayat-ayat tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar
mengikut bacaan guru. Bagi murid yang lemah, guru boleh membaca bacaan contoh
secara potongan ayat. Maksudnya, guru tersebut akan membaca ayat demi ayat
supaya murid dapat mengikutinya.
Langkah
kedua iaitu murid mengikut bacaan guru. Setelah murid diperdengarkan
dengan bacaan guru, murid diminta untuk mengikut bacaan guru secara kelas,
kumpulan ataupun individu. Semasa murid membaca ayat, guru perlu memerhati dan
mendengar dengan teliti sebutan murid untuk mengesan murid yang dapat membaca
dan murid yang masih belum boleh menguasai bacaan.
Seterusnya langkah
ketiga iaitu guru meminta seorang atau beberapa orang murid membaca di
hadapan guru. Setelah guru berpuas hati dengan mutu bacaan murid secara
kelas, guru meminta murid membaca ayat-ayat tersebut di hadapan guru pula secara
individu mengikut giliran. Ketika ini, guru perlu memastikan murid dapat
membaca ayat dengan betul dan fasih.
Langkah yang
terakhir dalam kaedah Talaqqi Musyafahah ini ialah guru mendengar dan
menilai bacaan murid. Apabila guru telah menilai bacaan murid secara
individu, guru boleh menguji bacaan murid dengan meminta murid tersebut yang
telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid, memperdengarkan bacaan di
hadapan kelas jika perlu.
2.2.2 KAEDAH TASMIK
Pengenalan
Kaedah Tasmik adalah salah satu dari kaedah pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan Islam dalam bidang asuhan Tilawah al-Quran. Dalam
kaedah Tasmik ini, murid diminta membaca manakala guru akan mendengar. Ianya
bertepatan dengan maksud Tasmik itu sendiri yang bererti mendengar yang diambil
dari perkataan bahasa Arab.
Kaedah
Tasmik bacaan al-Quran sesuai digunakan bagi ayat tilawah dan ayat hafazan.
Seorang murid diminta membaca ayat al-Quran di hadapan guru. Jika terdapat
kesalahan, guru akan memperbetulkan. Selepas itu, murid boleh ditanya mengenai
hukum-hukum bacaan atau tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang
dibaca. Tujuan utama kaedah ini digunakan adalah untuk menguji
tahap pencapaian setiap murid dalam penguasaan bacaan dan hafazan al-Quran.
Objektif
l Mengetahui pencapaian
murid.
l Kenal pasti tahap
pencapaian.
l Menyedarkan
kesilapan bacaan.
l Meningkatkan
kemahiran individu.
l Mengklasifikasikan
murid mengikut pencapaian.
Prosedur
Pelaksanaan Kaedah Tasmik
Rajah 2.2.2
Cara pelaksanaan kaedah tasmik, ialah
murid diminta membaca ayat yang ditentukan oleh guru dengan suara yang kuat
(jahar) atau nyaring, di hadapan guru sama ada secara kumpulan atau individu
bergilir-gilir. Guru mendengar bacaan atau hafazan murid dengan teliti supaya
dapat mengesan kesilapan yang dilakukan oleh murid dalam bacaannya.
Jika terdapat
kesalahan, guru akan memperbetulkan kesalahan murid tersebut. Untuk menentukan
pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal pelajar tentang hukum bacaan atau
hukum tajwid dan maksud tanda-tanda bacaan dalam ayat yang dibaca.
Kaedah tasmik sangat
sesuai diaplikasikan dalam bidang Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan.
Melalui kaedah ini guru dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap
ayat bacaan yang diajar.
2.2.3 KAEDAH
BERCERITA
Pengenalan
Bercerita atau riwayat membawa pengertian
sesuatu peristiwa, kejadian, dan lain-lain.
Mengajar cara bercerita bukanlah satu yang asing dalam pengajaran Islam. Kaedah
ini merupakan salah satu teknik yang mampu menerapkan aspek pembangunan insan.
Malah kaedah ini antara cara al-Quran memberikan didikan akhlak kepada manusia
ialah melalui cerita-cerita atau kisah-kisah para Rasul dan Anbia’ seperti Nabi
Yusuf (a.s), Nabi Ibrahim (a.s), Nabi Musa (a.s) dan sebagainya.
Dalam
pedagogi, guru dilatih supaya dapat menguasai prinsip-prinsip bercerita untuk
disesuaikan dengan orang yang mendengar cerita tersebut. Dalam Pendidikan
Islam, guru yang hendak bercerita mestilah ikhlas dan bercerita semata-mata
kerana Allah untuk mendidik pendengar supaya berakhlak mulia dan bertakwa
kepada Allah serta bertingkah laku sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah dan
ditunjukkan oleh para Rasul-Nya, terutama Nabi Muhammad SAW. Oleh yang
demikian, sewajarnya cerita yang dipilih itu adalah cerita yang baik dan banyak
memberikan contoh teladan.
Objektif
l Dapat
mengembangkan penghargaan dan keseronokan untuk menikmati kesusasteraan, pengayaan bahasa, pelbagai pengalaman.
l Mengembang
kemahiran mendengar.
l Memotivasi
murid-murid membaca.
l Menerapkan
aspek pembangunan insan.
Prosedur Pelaksanaan Kaedah Bercerita
Langkah-langkah berikut telah dicadangkan
untuk aktiviti bercerita:
(a) Sebelum
bercerita:
i.
Persekitaran yang selesa adalah penting.
Jika boleh, kemas satu tempat supaya murid-murid boleh duduk mengelilingi
pencerita.
ii.
Jika guru ialah pencerita, ia mesti
menimbangkan perkara-perkara berikut:
·
Pastikan cerita boleh didengar oleh semua
murid.
·
Pastikan semua murid dapat lihat
pencerita, terutama muka dan tangan.
·
Bercerita dengan kuat dan jelas dengan
ekspresi suara.
·
Sekiranya pencerita tidak mahu diganggu,
beritahu kepada murid-murid supaya tidak tanya soalan sehingga penghabisan
cerita.
·
Pastikan semua murid memberi perhatian
sebelum cerita itu dimulakan.
iii.
Kalau murid-murid diberi peluang
bercerita bersama-sama, mereka harus:
·
Diberi maklumat tentang bahagian-bahagian
dan urutan cerita itu.
· Diberi peluang berkongsi cerita,
peristiwa dalam satu keadaan tidak formal sebagai permulaan kepada pengalaman
bercerita yang lebih mendalam.
(b) Semasa
bercerita:
i.
Murid-murid harus diberi peluang mencatat
nota untuk perbincangan lanjut;
ii.
Pastikan murid-murid menumpukan
perhatian; dan
iii.
Pencerita harus bertentangan mata (eye
contact) dengan pendengar dan bertutur secara terus menerus kepada
pendengarnya.
(c) Selepas
sesi bercerita:
i.
Beri peluang kepada murid untuk memberi
rumusan cerita; dan
ii.
Meminta mereka berkongsikan nilai yang
telah belajar.
2.2.4 KAEDAH
AMALI DAN DEMONSTRASI
Pengenalan
Amali bermaksud pengamalan (pelaksanaan)
sebenar sesuatu ilmu pengetahuan.
Demonstrasi pula bermaksud pertunjukan dan penerangan tentang cara melakukan
sesuatu. Dikenali juga sebagai tunjuk cara yang merupakan teknik P & P yang
melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan sesuatu
aktiviti di hadapan murid.
Kaedah amali dan demonstrasi
ini merupakan cara menyediakan bahan pelajaran dengan menyediakan secara
langsung objeknya atau prosesnya atau cara melakukan sesuatu. Kaedah ini dapat
memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan
situasi pembelajaran.
Pendekatan amali dan
demonstrasi adalah antara kaedah yang paling banyak digunakan oleh Rasulullah
SAW terutamanya dalam P & P Ibadah. Sebagai contoh terdapat hadith yang
menerangkan bagaimana Rasulullah SAW mengajar tentang wuduk dan solat dengan
menunjukkan sendiri cara pergerakan solat yang betul.
Objektif
l Dapat
memberikan peluang kepada murid untuk berinteraksi secara terus dengan isi dan
situasi pembelajaran.
l Murid
memperoleh pengalaman langsung dalam memperoleh kemahiran, pengetahuan,
kesimpulan dan celik akal dalam unit-unit pembelajaran yang berkenaan.
l Membolehkan
murid melihat dan mengikuti satu siri langkah, peristiwa atau fenomena.
Prinsip Kaedah Amali dan Demonstrasi
Memahami dan mematuhi prinsip
melaksanakan kaedah amali dan demonstrasi ini antara faktor yang menolong
kepada menghasilkan aktiviti amali dan demonstrasi dengan lebih berkesan. Oleh
itu, guru harus mengetahui prinsip tersebut. Prinsip-prinsip tersebut pada
asasnya adalah seperti berikut:
(1) Sebelum
demonstrasi:
a. Guru
menentukan topik yang hendak dipelajari, objektif dan kandungan demonstrasi
terlebih dahulu.
b. Guru
menyediakan alatan serta bahan yang diperlukan.
c. Tempat
demonstrasi ditetapkan di hadapan kelas supaya semua murid dapat menyaksikannya
dengan jelas.
d. Guru
hendaklah memberitahu murid tujuan demonstrasi yang ditunjukkan supaya mereka
dapat mencontohinya nanti tanpa melakukan sebarang kesilapan.
(2) Semasa
demonstrasi:
a. Guru
harus memandang ke arah murid semasa memberi penerangan tentang demonstrasi
yang dijalankan.
b. Sekiranya
murid menunjukkan keraguan, guru hendaklah menerangkan langkah itu sekali lagi.
c. Guru
boleh menggunakan teknik menyoal untuk menarik perhatian murid atau untuk
mengingat kembali teori yang dipelajari sebelum ini.
d. Pastikan
semua murid dapat melihat demonstrasi serta mendengar penerangan guru dengan
jelas.
e. Tegaskan
bahagian yang penting.
f. Jika masa
mencukupi beri peluang murid membuat demonstrasi.
(3) Selepas
demonstrasi:
a. Mengadakan
perbincangan dengan murid tentang bahagian demonstrasi penting. Perbincangan
ini bagi memastikan murid-murid memerhatikan demonstrasi dengan betul.
b. Galakkan
murid bertanya aspek yang kurang difahami.
c. Guru
memberi aktiviti susulan untuk mengukuhkan lagi penguasaan kemahiran yang
dipelajari, misalnya mengadakan kuiz ataupun perbincangan.
2.2.5 KAEDAH PERMAINAN (BELAJAR
SAMBIL BERMAIN)
Pengenalan
Permainan menjadi satu keperluan semula
jadi bagi kanak-kanak. Situasi bermain boleh digunakan dalam pengajaran guru di
bilik darjah untuk mencapai objektif-objektif pendidikan. Kaedah bermain sesuai
untuk pendidikan prasekolah dan sekolah rendah. Kaedah ini juga boleh digunakan
dalam pengajaran Pendidikan Islam.
Permainan merupakan satu cara
melatih murid sebagai seorang manusia dan merupakan satu teknik yang baik untuk
menjadikan pengajaran di sekolah lebih menarik dan praktis. Kanak-kanak akan
memperoleh pembelajaran yang paling berkesan sekiranya mereka mempelajari
sesuatu sesuai dengan minat, tujuan dan faedah mereka.
Objektif Kaedah
Permainan (Belajar Sambil Bermain)
- Memberi peluang kepada murid-murid melakukan aktiviti
berpura-pura di bawah keadaan terkawal.
- Mengembangkan potensi intelek,
jasmani, rohani dan sosial murid-murid.
- Mengukuhkan kemahiran-kemahiran
yang baru dipelajari.
Prinsip-prinsip Kaedah Permainan
Menurut Musa Daia (1992), kaedah mainan
didasarkan beberapa prinsip seperti di bawah:
1) Proses
pembelajaran mestilah disalurkan melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk
permainan.
2) Pembelajaran
mestilah di dalam keadaan yang bebas dan tidak ada langsung penghalangnya.
3) Penyampaian
hendaklah secara tidak langsung dan bersahaja supaya sesuai dengan minat dan
keperluan kanak-kanak.
4) Guru
mestilah mempunyai sikap yang positif, iaitu sering menggalakkan murid-murid
melahirkan sesuatu dengan bebas. Beri peluang yang cukup kepada setiap murid
untuk melahirkan sesuatu.
5) Murid-murid
hendaklah sentiasa gembira dalam proses pembelajaran. Mereka hendaklah menjadi
peserta yang aktif dalam proses itu. Mereka juga hendaklah bertanggungjawab
terhadap perkembangan dan kemajuan diri sendiri.
Langkah Melaksanakan Aktiviti
Permainan
Jill Hadfield (1984) berpendapat bahawa
aktiviti permainan haruslah diajarkan melalui demonstrasi dan bukan disampaikan
dengan cara penerangan lisan sahaja. Oleh itu, beliau sarankan aktiviti
permainan dilaksanakan dengan langkah-langkah seperti berikut:
- Guru menerangkan secara ringkas
tentang tujuan bermain.
- Guru kemudian mendemonstrasikan
cara atau kaedah bermain.
- Seorang atau sekumpulan kecil
murid dipilih untuk melakukan semula demonstrasi guru.
- Semua murid menjalankan
aktiviti permainan dalam kumpulan kecil masing-masing.
- Guru beredar dari sekumpulan ke
sekumpulan dengan tujuan mengawas aktiviti murid, dan memberi bimbingan
jika perlu.
- Selepas aktiviti permainan,
guru atau seorang murid, dipilih untuk memberi rumusan yang dipelajari
dalam aktiviti permainan.
Kelebihan Kaedah Permainan
1) Murid
tidak bosan.
2) Melatih
murid berinteraksi dengan bebas sesama mereka.
3) Guru
dapat mengenal dengan mudah kemampuan murid dan kelemahan murid semasa bermain.
Kelemahan Kaedah Permainan
1) Menambah/
membebankan guru untuk menyediakan ABM.
2) Tidak semua
tajuk pelajaran dapat menggunakan kaedah ini.
3) Menambahkan
penggunaan wang sekolah.
3.0 PENUTUP
Keperluan kepada kaedah-kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang betul tidak boleh dipandang ringan dalam satu-satu sistem
pembelajaran yang ideal. Kepentingan kaedah ini sama pentingnya dengan objektif
dan kurikulum yang dinyatakan dalam mana-mana sistem falsafah pendidikan
terutamanya Pendidikan Islam. Pelaksanaan kaedah-kaedah pengajaran yang
dirancang dengan teliti akan membolehkan ia berkembang mengikut matlamat yang
ditentukan.
Musa
Daia (1992) berpendapat bahawa seorang guru mesti mempunyai kemahiran yang
cukup dalam menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang berbeza. Walaupun
banyak kaedah pengajaran yang baharu diperkenalkan, tetapi perlu ditekankan
bahawa tidak ada satu formula pun yang betul-betul dapat menentukan bagaimana
cara untuk mengajar. Apa yang perlu dilakukan ialah menyesuaikan kaedah-kaedah
yang pelbagai itu dengan kehendak dan kehidupan manusia yang dinamik.
Pengabungjalinan antara pelbagai kaedah pengajaran dan
pembelajaran dalam Pendidikan Islam merupakan kaedah yang terbaik bagi mengatasi
segala kelemahan yang ada pada setiap kaedah. Memandangkan setiap kaedah
mempunyai kelebihan yang tersendiri dan ianya adalah bergantung kepada kehendak
individu guru itu untuk mengunakan mana-mana kaedah yang bersesuaian dengan
tahap dan kemahiran yang ada pada mereka.
4.0 RUJUKAN
Ahmad Mohd Salleh.
(2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi
Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hjh. Noresah
Baharom. (2002). Kamus Dewan Edisi Ketiga. c. 7. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamarul Azmi Jasmi
dan Ab. Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam: Kaedah Pengajaran &
Pembelajaran. Johor: Penerbit UTM Press.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian
Pendidikan Guru. (2003). Modul 1/3 Ilmu Pendidikan Pengajian Profesional
KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian
Pendidikan Guru. (2005). Modul 1/3 Pendidikan Al-Quran Minor KPLI SR Mod
LPBS. Putrajaya: BPG KPM.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Jabatan
Pendidikan Islam dan Moral. Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam. (2007). Buku
Panduan Kursus Pemantapan Guru-guru j-QAF Tahun 2007. Kuala Lumpur: JAPIM
KPM.
Mok Soon Sang. (2009). Ilmu Pendidikan untuk
KPLI (Sekolah Rendah) Komponen 1 & 2. Subang Jaya: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.
Sheikh Abdullah Basmeih. (2006). Al-Qur’an
Al-Karim Mushaf Tajwid Berserta Terjemahan Ke Dalam Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: DarulFikir.
Hjh. Noresah Baharom. (2002). Kamus Dewan Edisi Ketiga. c. 7.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 557.
Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF:
Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. h.
188.
Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Modul 1/3
Pendidikan Al-Quran Minor KPLI SR Mod LPBS. Putrajaya: BPG KPM. h. 1.
Sheikh
Abdullah Basmeih. (2006). Al-Qur’an Al-Karim Mushaf Tajwid Berserta
Terjemahan Ke Dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: DarulFikir. h.
577.
Hjh. Noresah Baharom. (2002). Op. Cit. h. 1058.